Events

Podcast BH kupas perbezaan konsep nuzriyah, hibah dan wasiat

Podcast #NoTapis: Merancang Legasi Anda kerjasama BH dengan Wakaf Masyarakat S’pura (WMS)

DALAM pembahagiaan harta peninggalan bagi masyarakat Islam, kebanyakan Muslim akan bersandar kepada faraid. Selain faraid, ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang juga mengetahui tentang wasiat secara umumnya.
Namun, dalam Islam, pembahagian harta tidak terhad kepada dua cara ini. Terdapat dua lagi cara yang membolehkan pembahagiaan harta yang lebih luas, iaitu hibah dan nuzriyah. Dalam podcast #NoTapis: Merancang Legasi Anda kali ini, isu hibah dan nuzriyah ini dijelaskan dengan lebih mendalam oleh Ustaz Hafiz Rafie, kakitangan Sumber Mahkamah Syariah dan Encik Abdul Rohim Sarip, peguam dan pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP.
Ini merupakan episod ketiga daripada enam episod podcast yang bertujuan membantu masyarakat lebih memahami perkara ini menerusi cara yang santai tapi berisi dan dari lensa pandangan pakar. Siri podcast enam episod ini, yang akan diterbitkan sepanjang bulan ini, adalah sebahagian daripada kerjasama Berita Harian (BH) dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dalam usaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai perancangan kewangan secara Islam, dan perancangan untuk meninggalkan hartanah sebagai legasi demi memanfaatkan masyarakat.
Menurut Ustaz Hafiz, hibah membawa maksud hadiah dan dalam pembahagian harta, ia merujuk kepada pemberian apa sahaja dan kepada sesiapa sahaja semasa hidupnya. Jika seseorang itu ingin memberikan hibah selepas beliau meninggal dunia, ini dipanggil hibah ruqbah. Nuzriyah pula bermakna meniatkan atau menazarkan, iaitu memberikan hadiah yang pada asalnya tidak perlu dilakukan begini. Ini bermakna bahawa seseorang individu itu boleh meninggalkan pesan kepada keluarganya atau sesiapa sahaja tentang niat beliau untuk memberikan sesuatu yang khusus kepada seseorang waris, yang lebih daripada haknya atau seseorang lain yang bukan waris. Walau bagaimanapun, oleh sebab konsep nuzriyah ini lebih rumit, ia akan dilaksanakan seiringan dengan undang-undang sivil. Ustaz Hafiz berkata: “Islam senantiasa dengan perundangan negara selagi mana tidak menzalimi.” Ini bermakna masyarakat Islam juga harus mengikut undang-undang tempat yang mereka diami, dalam menjalankan nuzriyah. Selain itu, Ustaz Hafiz juga menekankan perlu seseorang individu itu mendapatkan persetujuan daripada waris-waris beliau tentang niatnya dalam pembahagian harta beliau untuk mengelakkan apa-apa pergolakan selepas itu. Jadi bagaimanakah hibah dan nuzriyah ini boleh dilaksanakan serta apakah perbezaan antara kedua-dua cara ini dengan wasiat? Apakah perkara dalam pembahagian harta yang perlu dipertimbangkan jika seseorang itu ingin menggunakan instrumen hibah dan nuzriyah? Untuk mendengar podcast ini, anda boleh imbas kod QR atau ke Spotify dan mencari #NoTapis. Anda juga boleh mendengarnya di laman web kami di www.beritaharian.sg/podcasts.

No products in the cart.

X